Jumaat, 5 Julai 2013

SEMUANYA AKIBAT KELAM‐KABUT...

9 hingga 11 Jun 2013, hampir sebulan masa itu berlalu ketika aku menghadiri Konvokesyen 14 OUM. Syukur alhamdulillah kerana segalanya berjalan dengan sempurna. Walau bagaimanapun, kenangan yang tercatat ketika sebelum, semasa dan selepas majlis membuatkan aku tersenyum sendiri. 

9 Jun 2013, hanya bertemankan Roslina Husin (rakan seMPPM, seOUM dan turut mendapat anugerah Lulus Dengan Cemerlang sepertiku juga), kami menaiki bas dari Seri Manjung seawal pukul 8.30 pagi. Lebih kurang pukul 11.30 pagi, bas yang kami naiki sampai ke Hentian Jalan Duta. Kami dapati ramai penumpang turun dan kami juga hampir turun tetapi terpaksa membatalkan niat tersebut kerana kami tak nampak bayang setesen LRT yang berdekatan. Kami meneruskan perjalanan. Sesampainya di Hentian Puduraya, kami terpaksa mencari stesen LRT yang tak tahu di mana letaknya. Puas bertanya, ada yang kata hala ke kanan, ada yang kata hala ke kiri... kami redah sahaja kerana inilah kali pertama kami sampai di situ. Jauh juga kami menapak. Setibanya di kaunter tiket, kami pun bertanya kerana tidak tahu hendak hala ke mana lagi untuk sampai ke stesen LRT yang berdekatan dengan Hotel Vistana. Kawanku pun mengeluarkan wang tunai RM 20 dan petugas kaunter tersenyum..."SERINGGIT LEBIH JE KAK," katanya. Kami ketawa mendengarnya kerana kami sangkakan tambangnya mahal. 

Berbekalkan token yang diberi, kami berjaya melepasi pintu masuk.Alhamdlillah, selamat sampai ke Hotel Vistana. Petang itu juga, kami ke OUM KL untuk mengambil pakaian akademik, menaiki teksi dengan tambang sehala RM15. Tak apalah... asalkan kami dapat sampai ke destinasi. Apabila selesai mengambil pakaian akademik, kami pulang ke hotel  dan tambang balik dengan teksi yang lain, RM10 sahaja. Sesampainya ke bilik, kami mencuba pakaian akademik berkenaan dan alangkah malangnya kerana tudung mahal yang kubeli dengan harga RM 45 tidak sesuai untuk disarungkan dengan topi. Jenuh berusaha namun masih tidak lekat di kepala. Akhirnya, petang itu juga kami keluar berjalan kaki menuju ke Chow Kit. Emm... tak la jauh mana jika berjalan sambil ketawa dan berbual. Tujuan utama hendak membeli tudung yang baharu tapi tak jumpa yang sesuai. Kami terpaksa pulang semula dengan menaiki LRT (sudah pandai sedikit...) kerana kaki sudah sakit dan lenguh berjalan. 

Pagi esoknya (10 Jun 2013) kami ke PWTC. Aku hanya menemani kawanku kerana majlis konvokesyenku keesokan harinya. Kami menaiki teksi dengan tambang RM10. Dekat sahaja dari tempat penginapan. Betul kata saudaraku, jalan kaki seberang sungai pun boleh sampai tapi aku takut tersesat jalan. Maklumlah, ini kali pertama kami akan ke PWTC (kesian...). Sesudah itu, kami berjalan kaki menuju ke stesen LRT untuk balik ke hotel. Malam itu, kami keluar lagi kerana aku masih belum menemui tudung yang sesuai untuk dipakai pagi esok. Akhirnya, kami ambil keputusan untuk naik LRT menuju ke Jalan TAR. Puas juga mencari dan akhirnya aku temui sehelai tudung yang sesuai dengan baju hanya dengan harga RM10. Tudung mahal aku simpan sebagai kenangan.

Pagi 11 Jun 2013, aku bergegas turun kerana aku perlu berada di PWTC seawal pukul 7.30 pagi. Risau juga kerana takut tidak ada teksi pagipagi begini. Jika tidak ada teksi, kami nekad untuk naik LRT sahaja. Puas juga menapak mencari teksi dan alhamdulillah, ada sebuah teksi di tepi jalan raya. Aku mengeluarkan wang RM15 kerana menyangka tambangnya kekal dengan harga berkenaan tetapi apabila ditanya, RM 3 sahaja katanya. Kalau kami tahu cuma RM3, tentu kami akan cari teksi tepi jalan besar kerana sebelum ini, kami main belasah je asalkan ada.  Selepas mengucapkan terima kasih, kami pun keluar dan bersedia untuk majlis tersebut.

Semuanya selesai. Aku perlu memulangkan jubah akademik tengah hari itu juga kerana kami akan pulang ke Perak pada hari yang sama. Selepas memulangkan pakaian akademik, aku mengambil sijil dan transkrip. Selepas itu, aku diminta ke kaunter khas untuk mengambil cek bernilai RM500 sebagai hadiah Lulus Dengan Cemerlang. Sebelum cek diberi, aku perlu menunjukkan kad pengenalan. Aku letakkan telefon bimbitku di atas meja sementara mencari kad pengenalan. Selesai tugas di kaunter, kami pun pergi ke tempat pemprosesan gambar. Ketika mencari slip gambar di dalam beg tangan, aku dapati telefon bimbitku tiada. Hendak ditelefon, aku telah menukarkan nadanya kepada mud senyap sepanjang majlis berlangsung. Aku kembali menuju ke kaunter khas untuk bertanya. Kalaulah hilang, tak berbaloi aku dapat RM500 tu. Tiba‐tiba namaku dipanggil dan petugas kaunter menunjukkan telefonku. Lega... barang yang aku amat sayang telah kembali ke pangkuan (sungguh tragis). 

Kami pun senang hati keluar dari PWTC dan berjalan pulang. Akibat leka berbual, kami tidak sedar stesen LRT terlepas untuk ke Hotel Vistana. Kami bertanya kepada seorang lelaki India (seorang peguam... aku sempat berbual sebelum dia turun) dan dengan selamba dia berkata... "kalau sembang dalam ni, memang boleh terlepas stesen dan tak dengar pengumuman..." Kami sambut dengan ketawa. Katanya, jangan turun kerana kami akan dibawa ronda satu KL dan akan kembali ke stesen yang asal. Di Perak tak de benda ni...sebab tu kami jadi PERAK...(hanya orang Perak yang faham..hahaha).

Sampai juga kami ke Hotel Vistana. Selepas bersiapsiap untuk pulang, aku sempat menyambut senyuman dan lambaian tangan seorang warga Pakistan yang tampan... Sebelum aku melangkah keluar pintu, dia memanggilku dan menyatakan sesuatu... BEG TANGANKU TERTINGGAL DI ATAS KERUSI DI LOBI HOTEL!!! Di dalamnya terdapat cek bernilai RM500 sebagai hadiah kecemerlangan daripada OUM dan sebuah Samsung Galaxy Tab yang baharu. Wahai Zaridah Zuber.. kekalutan itulah punca segala‐galanya. 

PENGAJARAN UNTUK SEMUA PEMBACA (JIKA ADA), SETIAP YANG KITA LAKUKAN PERLU DIBUAT DENGAN TENANG DAN JANGAN KALUT. TERIMA KASIH ROSLINA HUSIN, WALAUPUN SAHABATKU INI SEORANG YANG TENANG, APABILA AKU BUAT KALUT, DIA SAMA KELAM KABUT... 
AKU KEMBALI MERINDUI SAAT ITU...