Selasa, 22 Februari 2011

SEJARAH SK SERI MANJUNG


             Sekolah Kebangsaan Seri Manjung terletak dalam kawasan Bandar Baru Seri Manjung yang semakin pesat membangun, Sekolah Kebangsaan Seri Manjung (SKSM) bukanlah nama baru sebagai institusi pendidikan sekolah rendah di negeri Perak. Sekolah Kebangsaan Seri Manjung telah dibuka pada 6 Januari 1986. Pada tanggal 12 Jun 1989, sekolah ini telah dirasmikan oleh Pemangku Sultan Perak iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah.


SKSM didirikan di atas sebidang tanah seluasnya 9 ekar, 1 rod dan 3.2 pole. Sebanyak dua buah blok tiga tingkat, satu blok 2 tingkat, dua blok 1 tingkat, sebuah maknal komputer dan sebuah kantin serta sebuah surau telah dibina. Terdapat sebuah padang permainan di dalam kawasan sekolah yang digunakan untuk aktiviti Pendidikan Jasmani dan aktiviti kokurikulum seperti bola sepak dan bola jaring. Terdapat juga sebuah gelanggang bola tampar yang kelihatan di sebelah kiri dan pondok merdeka di sebelah kanan pintu masuk sekolah.

              Pada awal pembukaannya, sebanyak 18 buah kelas telah dibuka dengan bilangan muridnya seramai 437 orang. Guru Besar yang pertama menerajui sekolah ini ialah Allahyarham Abdullah bin Omar PPT, PPN. Beliau bertugas di sekolah ini mulai 6 Januari 1986 hingga 15 November 1986. Beliau berkhidmat di sekolah ini selama 11 bulan sebelum ditukarkan ke SRK Simpang Empat ( sekarang SK Simpang Empat).

             Seterusnya tempat beliau telah diambil alih oleh Encik Mokhtar bin Hussin. Beliau berkhidmat di sekolah ini dari 16 November 1987 hingga 15 Mei 1989. Pada 16 Mei 1989 , Encik Mohd Raji bin Baharuddin telah dilantik untuk memegang jawatan Guru Besar di sekolah ini.  Beliau berkhidmat di sini sehingga 31 Mac 1992.

             Guru Besar yang keempat ialah Encik Ahmad bin Aki yang bersara wajib pada 1 Mei 1995 dan  Guru Besar kelima ialah Tuan Haji Nordin bin Abdul Kadir yang bersara wajib pada 17 Januari 1998.  

            Encik Tajor Amar bin Nazri selaku Guru Besar yang keenam banyak merancang dan melaksanakan program pembangunan dan kecemerlangan bagi meningkatkan prestasi sekolah ini. Ini termasuklah penggunaan teknologi maklumat dalam pengurusan di pejabat. Kursus komputer untuk guru-guru dan murid-murid telah diadakan bagi meningkatkan kemahiran dalam penggunaan komputer. Beliau telah berusaha untuk mendapatkan beberapa buah komputer untuk kegunaan kakitangan pejabat dan guru-guru. Pusat Sumber Sekolah juga telah dinaik taraf dan merupakan sekolah rendah yang pertama dalam negeri Perak yang menjalankan Program Pengautomasian Pusat Sumber Sekolah  iaitu pada 1 Mac 2000.  

            Setelah Encik Tajor Amar  bin Nazri bertukar, tempat beliau digantikan oleh Tuan Haji Ahmad Dalail bin Mohd Rakim dan selepas itu, jawatan Guru Besar SK Seri Manjung disandang pula oleh Puan Hajah Fakherah binti Mohd Irfan pada 1 Jun 2002 hingga bersara wajib pada  25 April 2004.

            Seterusnya En Zahidi bin Zulkiffli mula menerajui SKSM pada tanggal 7 Julai 2004 sehingga kini.  Banyak perubahan yang ketara berlaku di bawah pentadbiran beliau.

 Pembinaan taman perumahan dan kemudahan awam yang lain di kawasan yang berhampiran dengan sekolah menyebabkan pertambahan murid berlaku secara mendadak. Bilangan murid semakin bertambah dari semasa ke semasa. Ketika itu, hanya SK Seri Manjung sahaja satu-satunya sekolah rendah yang paling hampir dengan kawasan taman perumahan. Keadaan ini menyebabkan pihak sekolah mengalami masalah penempatan murid.  Oleh sebab  pertambahan murid pada sesi persekolahan 1991/1992, pihak sekolah terpaksa mengadakan dua sesi. Bermula pada tahun tersebut murid-murid Tahun1, Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 belajar pada sesi pagi manakala murid-murid Tahun 2 dan Tahun 3 belajar pada sesi petang.

            
SKSM memulakan pembelajaran komputer pada tahun 1987 dan telah membeli sebanyak 13 buah komputer jenis NEC. Sesuai dengan era teknologi maklumat yang berkembang maju pihak sekolah telah membeli 6 buah komputer jenis IBM beserta dua buah pencetak jenis Panasonic.


         Pada tahun 1989, SKSM telah diiktiraf sebagai sekolah Gred B dan dinaikkan taraf ke sekolah Gred A pada tahun 1992. SKSM turut dipilih menjadi sekolah contoh dalam negeri Perak mulai tahun 1992 dan dianugerahkan sebagai Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Perak pada tahun 1993.

                
               Sebuah blok yang mengandungi tiga bilik darjah telah dibina bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah dan mula digunakan pada tahun 1996. Sekarang blok tersebut telah dijadikan Prasekolah ( 2 bilik darjah ) dan sebuah bilik lagi sebagai bilik Kemahiran Hidup. Oleh kerana murid prasekolah turut bertambah, maka sebuah lagi kelas untuk prasekolah telah dibina.

       Demi keperluan proses pembelajaran, pihak sekolah juga telah menyediakan dua buah Makmal Sains untuk kemudahan murid-murid.   Atas usaha pihak sekolah, Blok C yang mengandungi 12 bilik darjah telah dibina pada awal tahun 1998 dan siap pembinaannya pada akhir tahun 1998. Pada awal tahun 1999, bangunan Blok C telah digunakan sepenuhnya.

                
Dengan kerjasama pihak sekolah dan PIBG, buat pertama kalinya pakaian sukan sekolah berlencana dan nama sekolah digunakan oleh murid-murid bagi aktiviti Pendidikan Jasmani pada pertengahan tahun 1998. Pada tahun yang sama, pejabat sekolah telah diubahsuai dan dilengkapkan dengan komputer. Untuk kemudahan guru-guru, bilik guru juga telah dibekalkan dengan dua buah komputer sejajar dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Buat pertama kalinya juga, pengiraan markah dan analisis ujian serta peperiksaan berkomputer diperkenalkan serta diguna pakai.

Pada awal Ogos 2001 bangunan SK Seri Manjung dibaik pulih. Blok A dan Blok B dicat semula. Pendawaian semula dijalankan, kantin diubah suai, pagar dan pintu pagar diganti serta tempat letak kereta ditambah.          

Hasil sumbangan daripada ibu bapa / penjaga murid, orang ramai serta bantuan sebanyak RM65,000 oleh Pejabat Kemajuan Negeri Perak, sebuah surau baru dapat dibina. Bangunan surau ini terletak bersebelahan Blok C. Surau ini  mula dibina pada pertengahan tahun 2001 dan siap pembinaannya pada bulan November 2001 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM93,000.  Antara aktiviti yang dijalankan di surau ini ialah ceramah agama, majlis bacaan Yasin, sembahyang berjemaah dan sebagainya. Surau Sekolah telah dirasmikan pada bulan Mei 2003 oleh Tuan Haji Hussain bin Haji Harun, Pegawai Pendidikan Daerah Manjung ketika itu.

            Pada tahun 2005, SKSM telah mula dibekalkan dengan kemudahan wireless  di seluruh kawasan sekolah. Selain itu, sekolah ini juga menjadi sekolah pertama di negeri Perak dilengkapi dengan kemudahan “Fibre Optic” dan mendapat sebuah bangunan makmal komputer dua tingkat pada tahun 2008.

            SKSM turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia pada 17 Ogos 2009.SKSM menerima anugerah Kategori Sekolah Rendah Bandar  yang menawarkan hadiah berupa wang tunai RM 50,000 ,sijil penghargaan dan sebuah plak yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran II , Dr. Mohd Fuad bin Zarkashi di Dewan Banquet,Universiti Pertanian Malaysia.Anugerah yang amat tinggi nilainya telah membangkitkan lagi semangat seluruh warga SKSM untuk memberi yang terbaik agar kegemilangan SKSM berterusan tanpa ada titik akhir. Semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan seluruh warga telah membuahkan hasil yang diharapkan. SKSM akan terus dimantapkan dari segi keceriaan dan pencapaian prestasi pendidikan.

                        Dengan prasarana yang telah dilengkapi ini diharap dapat melahirkan generasi berpotensi yang seimbang  dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek pada masa hadapan bagi merealisasikan kehendak dan aspirasi negara. Semoga SKSM terus cemerlang.