Jumaat, 15 Mei 2009

SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA WARGA PENDIDIK

16 Mei 2009... tarikh ini datang lagi. Tarikh inilah yang telah sebati dalam ingatan. Aku dan teman-teman seperjuangan telah pun berjanji sejak mula-mula menjejakkan kaki bahawa kami akan menjadi warga yang ingin mencurah bakti.

Aku masih ingat segala memori kerana aku juga pernah duduk di situ.... mendengar butir bicara ilmu dari seorang guru. Guru yang pernah berdiri di hadapanku, mungkin ada yang telah tiada kerana zaman persekolahan itu telah aku tinggalkan jauh sejak puluhan tahun yang lalu. Namun, tiap kali aku bertemu guru yang pernah mendidikku dulu, aku masih memanggilnya "cikgu" walaupun aku juga kini adalah seorang guru. Tiada yang lebih indah saat ini selain melihat anak didikku berjaya menggapai cita. Suatu masa nanti, aku dan teman-teman seperjuangan akan meninggalkan arena yang amat disayangi ini kerana usia semakin dibawa waktu. Kesempatan yang ada ini, ingin aku rakamkan ucapan "Selamat Hari Guru" buat semua teman SK Seri Manjung, guru-guruku yang pernah mengajar aku pada tahun 1976 - 1978 di SK Bidor, 1979 - 1981 di SK Toh Tandewa Sakti, Tapah, 1982 - 1984 di SMK Hamid Khan, Tapah, 1985 - 1986 di SMK Dato'Seri Maharaja Lela, Kg.Gajah dan 1987 - 1988 di SMK Seri Perak, Teluk Intan.