Sabtu, 21 Mei 2011

MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN KEJOHANAN BALAPAN & PADANG MSSM KE-53 2011

Terima kasih Yang Amat Berhormat  Tan Sri Dato’ Sri DiRaja Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia kerana telah menyempurnakan majlis perasmian pembukaan malam tadi. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Yang Berbahagia Dato’ Abd Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Perak dan semua yang hadir. Gemilangnya percikan sinar malam itu, mengajak kita bersatu. Melestarikan impian berpadukan tindakan praktikal. Kita nyalakan bara impian dan obor semangat menerangi hamparan harapan. Melatari dunia kesukanan dengan kehebatan 1 murid 1 sukan. Tangkas menguasai galeri kemahiran dan kecerdasan. Kita bina entiti imej berprestij melatari pentas dunia. Disanjungi warga jagat. Bangsa Malaysia gagah perkasa dan terhebat. Nyalaan Cahaya Perpaduan 1 Malaysia tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai nyalaan Cahaya Perpaduan 1 Malaysia terbanyak. 10,845 Cahaya Perpaduan 1 Malaysia menghiasi persada majlis, sebagai lambang kekuatan dan kemegahan warga , yang jauh kita rapatkan, yang dekat kita satukan menjadi seberkas kekuatan kerana kita adalah satu bangsa, satu Negara, satu Malaysia. 

Ahad, 15 Mei 2011

HARI GURU HARI PENUH ERTI... 16 MEI


Marilah, kita berpadu bakti mesrakan anggun pekerti
Mewarnai gemilang peribadi dengan kehalusan nurani
Melanskapkan rimbunan kasih pada pertiwi
Menunjang akar keperibadian murni
Santun mendidik agar ilmu diwarisi
Ayuh kita bersatu menggenggam amanah yang diberi
Kerna kita punya hati dan nilai kasih sewangi kasturi...
SELAMAT HARI GURU...

Sabtu, 7 Mei 2011

KERANA DIA IBU YANG TERBAIK...


Bertuahnya kita kerana dilahirkan ke dunia oleh seorang wanita yang mulia. Nasib seseorang tidak sama. Ibuku mengharungi pelbagai kisah suka duka dalam rentetan sejarah perjalanannya. Namun dia begitu tabah mengharunginya tanpa sekelumit kesal atau kecewa. Bukan mudah mengharungi hidup membesarkan anak-anak sendirian bersama keperitan hidup yang dihimpit kepayahan tatkala ayah telah tiada. Namun dia begitu tabah dan senantiasa tersenyum. Namanya begitu indah... Farida Ainon binti Mahmud... dilahirkan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 7 Mei 1950. Berkulit cerah dan berwajah ayu. Dialah ibuku yang terbaik. Selamat Hari Ibu...Baktimu sekilau permata, budimu seindah mutiara...