Jumaat, 22 April 2011

SUDAH KETENTUANNYA...


Aku dilahirkan dalam keluarga yang serba sederhana. Arwah ayahku hanyalah seorang buruh kasar. Emak pula seorang suri rumah. Namun, zaman itu telah jauh aku tinggalkan. Andainya dapat diundurkan masa, pasti kupilih untuk kembali ke detik itu. Aku terus menelusuri daerah kehidupan yang semakin lama semakin mendewasakan aku. Setiap saat segalanya pasti berubah. Begitu jugalah dengan kehidupan yang telah dan akan kita lalui. Seperti aku suatu ketika dahulu... segalanya musnah apabila tiba-tiba ayah diserang angin ahmar. Ayah tidak lagi mampu untuk bekerja bagi menyara kehidupan kami sekeluarga. Akhirnya ayah bersara dan kami pun balik ke kampung halaman. Daerah kecil itu telah banyak mengajar aku erti hidup yang sebenarnya. Kehidupan yang sederhana itu menjadi agak sempit. Belanja perubatan ayah...belanja persekolahan...belanja harian... tidak lagi semewah ketika ayah masih sihat. Aku tidak lagi punya kawan sepermainan seperti semasa aku kanak-kanak dulu... kawan untuk berkongsi cerita suka dan duka. Zaman kanak-kanakku sudah berakhir dan ketika usia 15 tahun, aku perlu berdikari demi meringankan beban emak. Aku sering berharap agar segalanya akan berubah dan ayah akan kembali sihat seperti dulu. Namun, sehingga akhir hayatnya, ayah tidak mampu untuk berdiri apatah lagi hendak menguruskan diri sendiri. Sebelah kanan anggotanya sudah tidak berdaya. Aku terima ketentuan takdir. Segalanya sudah tertulis. Kini, segalanya telah berubah... Sudah hampir 21 tahun ayah pergi meninggalkan kami. Ingatanku terhadapnya tetap ada dan sesekali kelibatnya akan melintas di ruang fikiran... Mungkin kerana aku rindu...