Rabu, 1 Disember 2010

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

  Jinak sungguh burung merpati,
Terbang rendah hala ke desa;
Molek pekerti cerminan hati,
Indah bahasa budaya bangsa.

Berbicara mengenai  Budi Bahasa Budaya Kita, kita sedia maklum bahawa sebagai masyarakat timur, amalan budi bahasa merupakan satu amalan yang menjadi budaya masyarakat kita sejak dahulu lagi. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian. Hormat orang tua, memberi salam sebagai pembuka kata, membantu orang yang memerlukan pertolongan, ucapan terima kasih atau maaf di mana perlu, merendah diri dan berbagai-bagai lagi, merupakan nasihat yang tidak asing bagi kita.

Amalan berbudi bahasa merupakan warisan bangsa dan setiap institusi termasuk keluarga, guru dan para pelajar sendiri bertanggungjawab untuk mendidik diri dan setiap ahli keluarga mengenai perkara-perkara asas budi bahasa seperti cara bertutur yang sopan, saling bertegur sapa, jujur, amanah, berdisiplin, bersyukur dan sebagainya, agar menjadi manusia yang berperibadi mulia.

Walau bagaimanapun, dalam zaman serba baru dengan kecanggihan teknologi dan era globalisasi, kita tidak boleh menafikan bahawa tempias budaya asing yang kian menular terutamanya melalui media elektronik sedikit sebanyak menjejaskan kemurnian budaya budi bahasa dalam masyarakat kita.  Kehidupan cara moden disertai dengan cabaran dalam dunia tanpa sempadan, telah sedikit sebanyak menghakis budaya tradisi yang bersopan santun, bertata susila dan hormat menghormati yang telah diamalkan turun temurun. Buktikan kepada semua bahawa kita hebat dan dikenali kerana budi bahasa yang tinggi. Tuntutan untuk memikul tanggungjawab bersama-sama merupakan agenda penting untuk menyemarakkan amalan berbudi bahasa dalam jiwa anak-anak kita di setiap peringkat persekolahan demi memperkukuh peribadi dan jati diri. Hakikatnya, kita amat perlu menyedari betapa pentingnya pemupukan budi bahasa menerusi prinsip kelima rukun negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Demikian juga dalam konteks pendidikan, perkara ini telah dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita perlu melihat perkembangan seseorang itu dari segenap aspek termasuklah budi bahasanya yang menjadi lambang peradaban bangsa.

Alangkah malangnya jika sesebuah masyarakat itu mencapai tahap kemajuan yang tinggi tetapi kelakuan dan moral pendukungnya amat rendah sehingga mencemarkan kualiti kehidupan. Tetapi saya amat yakin dan percaya bahawa anak-anak Malaysia adalah dalam kalangan anak bangsa yang mendukung murni cita-cita negara dalam melahirkan masyarakat yang berbudi tinggi bak kata ungkapan “Orang Berbudi Kita Berbahasa”, dan “Yang Baik Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa”. Ungkapan yang telah sinonim dengan kita ini perlu juga dihayati makna yang tersirat.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa pelbagai gejala negatif boleh timbul akibat daripada kepupusan budi bahasa. Orang timur pada kebiasaannya memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa. Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

Kita mahu meraih kejayaan tanpa mengabaikan nilai berbudi bahasa. Kita juga mahu melahirkan individu yang berhemah tinggi dan berketrampilan yang boleh menjadi contoh kepada generasi akan datang. Semua orang perlu terus memainkan peranan dalam usaha untuk menyemarakkan semula pengamalan budi bahasa dalam kehidupan seharian tidak kiralah di sekolah, di rumah atau di mana-mana sahaja. Usaha sebegini penting, agar kita dapat melahirkan modal insan yang seimbang  bukan sahaja cemerlang dari aspek intelektual malah turut cemerlang dalam aspek kerohanian dan memiliki nilai-nilai peradaban yang disanjungi oleh semua warga. Kita tidak harus berpuas hati dengan aspek pembangunan luaran atau fizikal saja. Kita perlu memperbaiki aspek dalaman atau aspek peribadi untuk menjadikan masyarakat kita sebuah masyarakat yang benar-benar bertamadun. Pembangunan modal insan menjadi sangat penting kepada negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan, kepakaran, tetapi juga dari segi moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Pemupukan budaya berbudi bahasa, berbudi mulia, beradab dan  bersopan santun adalah tanggungjawab semua. Usaha untuk menerapkan amalan berbudi bahasa sebagai satu budaya akan mudah tercapai dan akhirnya menjadi sebati dengan peribadi serta perilaku semua dalam kehidupan seharian dan di persekitaran seandainya setiap indiividu menyedari dan dapat menghayati kepentingan budi bahasa. Generasi kita semakin hari semakin bijak. Namun kebijaksanaan itu perlu dipelihara berlandaskan kepada budi bahasa yang menjadi budaya kita kerana

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.



Isnin, 22 November 2010

1 MALAYSIA DARI SUDUT PEMIKIRANKU...


1 Malaysia kini menjadi slogan dan sebutan sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, tidak semua memahami apakah yang dimaksudkan dengan 1 Malaysia. Adakah sekadar frasa yang indah untuk disebut atau satu prinsip yang perlu dijadikan pedoman dan landasan untuk diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia.  Ingin saya pinjam kata-kata penjelasan daripada YAB Dato’ Sri Mohd Najib  Tun Abdul Razak tentang konsep 1 Malaysia: “Kita berdiri, kita  berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.”

Kita berjaya mengikat tali sepakat, menyimpul kejap ikatan muafakat, memupuk rasa membina nusa. Di negara inilah ruang kita menabur benih sentosa, menuai hasil kemakmuran nan gemilang. Yang jauh dirapatkan, yang dekat dimesrakan. Pelbagai bangsa disatukan, menjadi seberkas kekuatan dan membentuk perpaduan. Sememangnya seluruh warga menyokong tinggi usaha-usaha memelihara perpaduan rakyat sejajar dengan konsep ‘1 MALAYSIA’.

1 Malaysia mampu melahirkan generasi yang kenal negara dan bukan sekadar mengenal bangsa. Konsep dan budaya bersatu dalam satu negara menjadikan Malaysia negara yang harmoni dari segi perpaduan bangsa, penyatuan warga dan akhirnya akan merapatkan jurang pemisah antara kaum. Meskipun kita tahu akan kepelbagaian rupa bangsa dan aneka budaya dalam masyarakat Malaysia, namun itu sebenarnya adalah warna yang menjadikan kita bersatu dalam 1 Malaysia. 

Sebagai warga Malaysia yang berbilang kaum, semestinya wujud jurang pemisah kerana kita mempunyai budaya dan pegangan masing-masing. Walau bagaimanapun, kepelbagaian budaya yang menjurus kepada perpaduan dan nilai-nilai murni boleh diamalkan bersama bagi membentuk warga yang boleh disebut sebagai bangsa Malaysia. Peranan untuk menyatukan bangsa menjadi bangsa Malaysia ini wajar dilaksanakan oleh semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin negara. Tunggak kejayaan dalam menyatu padukan kaum adalah berakar umbi dari peranan pemimpin yang seterusnya bertunas membentuk ranting warga berbilang kaum yang melengkapkan cabang pohon perpaduan itu, seterusnya dihiasi indah dengan bunga-bunga keharmonian menjadi 1 Malaysia. Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Kita boleh hidup dan berteduh di bawah pohon perpaduan itu tanpa memikirkan kepentingan etnik dan kaum masing-masing. Kita juga perlu berfikiran terbuka dan tidak mementingkan bangsa sendiri. Jika amalan mementingkan bangsa diamalkan, maka akan wujud pula masalah-masalah yang boleh mencetuskan suasana kacau bilau dalam negara. Ini menunjukkan betapa pentingnya konsep 1 Malaysia itu diamalkan dan bukan sekadar menjadi sebutan.

Konsep 1 Malaysia adalah satu misi untuk mengharmonikan rakyat  dalam ruang lingkup yang berbeza. Kerajaan senantiasa  menjaga kepentingan semua kaum. Sebagai rakyat Malaysia, seluruh warga amat bersyukur dan amat menghargai segala yang telah diberikan kepada kami sejak zaman-berzaman, iaitu kebebasan dan hak untuk memilih tinggal di bumi Malaysia yang aman dan damai. Kerajaan senantiasa memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara dan ia sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.  Salah satu kejayaan negara menuntut kemerdekaan adalah kerana perpaduan dalam kalangan rakyat. Itu adalah sejarah yang tidak boleh diubah dan 1 Malaysia akan terus menjadi teras agar negara tidak terlepas kembali ke tangan penjajah.

1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Seluruh warga perlu dan wajar untuk mengamalkan budaya cemerlang secara berterusan kerana pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Budaya kecemerlangan itu termasuklah ceerlang dalam pengurusan masa dan kualiti hasil dan tugas agar Malaysia diiktiraf di mata dunia walaupun kita adalah sebuah Negara kecil di peta dunia tetapi yang mempunyai nilai kecemerlangan yang tinggi dalam segenap bidang.

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan untuk kejayaan diri dan Negara. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat. Setiap warga perlu berubah sekiranya kesilapan atau kegagalan lalu menjadikan kita gagal dalam mencorak kegemilangan diri. Setiap kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji  akan kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu diperbaiki secara positif. Kita perlu senantiasa kreatif, inovatif, bersemangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan Negara dalam konteks 1 Malaysia. 

Rakyat Malaysia  terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd  Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang  bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat.  Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.  Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Kita patut berbangga kerana Malaysia mempunyai pemimpin cemerlang dan komited serta memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kerana kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab inilah yang menjadi asas paling kukuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Di samping itu, rakyat Negara ini akan beruasa untuk senantiasa mendalami konsep 1 Malayisa, berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap bangsa, agama dan Negara dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan bersama. 

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik.  Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati  pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat.  Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Penghayatan dan pengamalan lapan nilai lapan nilai 1 Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti amat penting bagi memastikan konsep itu berjaya. Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi.  Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. 

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat  sebagaimana kehendak  prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ semua kaum dan semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara.  Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.Bagi menjayakan konsep 1 Malaysia yang dilaungkan ini, seluruh warga perlu memupuk rasa kebersamaan dan kekitaan tanpa ada jurang perbezaan antara kaum kerana walau gelap atau cerah warna kulitnya, walau hitam atau perang warna rambutnya, walau bundar atau sepet kelopak matanya, darahnya tetap merah. Tiada apa yang kita dapat jika kita mementingkan diri, mementingkan kaum dan mementingkan darjat atau keturunan. 

Semoga kita akan dapat menguatkan lagi iltizam untuk terus berusaha dengan tekun dan gigih bagi menjana pelbagai program dan aktiviti demi memartabatkan agenda perpaduan yang mantap dan kukuh dalam negara tercinta ini dalam konteks 1 Malaysia.

Jumaat, 19 November 2010

SELAMAT BERCUTI....


Hari ini merupakan hari terakhir sesi persekolahan tahun 2010. Selamat bercuti diucapkan kepada semua murid dan guru termasuklah anak-anak muridku di SK Seri Manjung. Jagalah keselamatan diri anda semasa cuti sekolah yang panjang ini. Semoga kita bertemu lagi pada tahun hadapan. Jangan lupa untuk ke sekolah semula bersama azam dan semangat baharu untuk terus meningkatkan kecemerlangan diri pada 3 Januari 2011.

PABILA MANUSIA HILANG NILAI KEMANUSIAAN...

Khamis, 11 November 2010

UPSR 2010 SK SERI MANJUNG

Hari ini telah diumumkan keputusan UPSR 2010. Tahniah diucapkan kepada semua murid yang berjaya memperoleh 5A termasuklah murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Manjung. Seramai 61 orang telah berjaya membuatkan guru-guru berasa bangga dan ibu bapa tersenyum gembira. Pelbagai gelagat dapat disaksikan...tidak kurang juga yang berduka kerana kurang bernasib baik. Walau bagaimanapun, jika tidak memperoleh 5A, bukanlah bermakna langkah anda berhenti di sini. UPSR adalah isyarat pertama untuk anda terus meneroka perjalanan hidup yang masih jauh. Masih banyak waktu, ruang dan peluang untuk anda terus membentuk kecemerlangan diri...

Selasa, 19 Oktober 2010

BERKONGSI UNGKAPAN DALAM PERIBAHASA MELAYU

ADA PADI, SEMUA KERJA JADI;
ADA BERAS, SEMUA KERJA DERAS.
Maksudnya: Apabila seseorang itu mempunyai wang, semua kehendaknya dapat dibuat.

AKAL TAK SEKALI DATANG;
RUNDING TAK SEKALI TIBA.
Maksudnya: Mesti tekun dan sabar kerana tidak ada kerja yanng serta merta boleh mendatangkan hasil ataupun menjadi sempurna

TIDAK MUSTAHIL UNTUK IMPIAN BERUBAH MENJADI MIMPI, MIMPI BERUBAH MENJADI REALITI...

myspace backgrounds images

myspace backgrounds

Isnin, 18 Oktober 2010

Gembira rasanya kerana dapat berkongsi ilmu... Kepada anda yang ingin menggunakan laporan Kajian Tindakan saya sebagai panduan atau apa sahaja bidang ilmiah, dipersilakan. Semoga ilmu setitik akan jadi selaut...