Rabu, 1 Disember 2010

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

  Jinak sungguh burung merpati,
Terbang rendah hala ke desa;
Molek pekerti cerminan hati,
Indah bahasa budaya bangsa.

Berbicara mengenai  Budi Bahasa Budaya Kita, kita sedia maklum bahawa sebagai masyarakat timur, amalan budi bahasa merupakan satu amalan yang menjadi budaya masyarakat kita sejak dahulu lagi. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian. Hormat orang tua, memberi salam sebagai pembuka kata, membantu orang yang memerlukan pertolongan, ucapan terima kasih atau maaf di mana perlu, merendah diri dan berbagai-bagai lagi, merupakan nasihat yang tidak asing bagi kita.

Amalan berbudi bahasa merupakan warisan bangsa dan setiap institusi termasuk keluarga, guru dan para pelajar sendiri bertanggungjawab untuk mendidik diri dan setiap ahli keluarga mengenai perkara-perkara asas budi bahasa seperti cara bertutur yang sopan, saling bertegur sapa, jujur, amanah, berdisiplin, bersyukur dan sebagainya, agar menjadi manusia yang berperibadi mulia.

Walau bagaimanapun, dalam zaman serba baru dengan kecanggihan teknologi dan era globalisasi, kita tidak boleh menafikan bahawa tempias budaya asing yang kian menular terutamanya melalui media elektronik sedikit sebanyak menjejaskan kemurnian budaya budi bahasa dalam masyarakat kita.  Kehidupan cara moden disertai dengan cabaran dalam dunia tanpa sempadan, telah sedikit sebanyak menghakis budaya tradisi yang bersopan santun, bertata susila dan hormat menghormati yang telah diamalkan turun temurun. Buktikan kepada semua bahawa kita hebat dan dikenali kerana budi bahasa yang tinggi. Tuntutan untuk memikul tanggungjawab bersama-sama merupakan agenda penting untuk menyemarakkan amalan berbudi bahasa dalam jiwa anak-anak kita di setiap peringkat persekolahan demi memperkukuh peribadi dan jati diri. Hakikatnya, kita amat perlu menyedari betapa pentingnya pemupukan budi bahasa menerusi prinsip kelima rukun negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Demikian juga dalam konteks pendidikan, perkara ini telah dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita perlu melihat perkembangan seseorang itu dari segenap aspek termasuklah budi bahasanya yang menjadi lambang peradaban bangsa.

Alangkah malangnya jika sesebuah masyarakat itu mencapai tahap kemajuan yang tinggi tetapi kelakuan dan moral pendukungnya amat rendah sehingga mencemarkan kualiti kehidupan. Tetapi saya amat yakin dan percaya bahawa anak-anak Malaysia adalah dalam kalangan anak bangsa yang mendukung murni cita-cita negara dalam melahirkan masyarakat yang berbudi tinggi bak kata ungkapan “Orang Berbudi Kita Berbahasa”, dan “Yang Baik Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa”. Ungkapan yang telah sinonim dengan kita ini perlu juga dihayati makna yang tersirat.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa pelbagai gejala negatif boleh timbul akibat daripada kepupusan budi bahasa. Orang timur pada kebiasaannya memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa. Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

Kita mahu meraih kejayaan tanpa mengabaikan nilai berbudi bahasa. Kita juga mahu melahirkan individu yang berhemah tinggi dan berketrampilan yang boleh menjadi contoh kepada generasi akan datang. Semua orang perlu terus memainkan peranan dalam usaha untuk menyemarakkan semula pengamalan budi bahasa dalam kehidupan seharian tidak kiralah di sekolah, di rumah atau di mana-mana sahaja. Usaha sebegini penting, agar kita dapat melahirkan modal insan yang seimbang  bukan sahaja cemerlang dari aspek intelektual malah turut cemerlang dalam aspek kerohanian dan memiliki nilai-nilai peradaban yang disanjungi oleh semua warga. Kita tidak harus berpuas hati dengan aspek pembangunan luaran atau fizikal saja. Kita perlu memperbaiki aspek dalaman atau aspek peribadi untuk menjadikan masyarakat kita sebuah masyarakat yang benar-benar bertamadun. Pembangunan modal insan menjadi sangat penting kepada negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan, kepakaran, tetapi juga dari segi moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Pemupukan budaya berbudi bahasa, berbudi mulia, beradab dan  bersopan santun adalah tanggungjawab semua. Usaha untuk menerapkan amalan berbudi bahasa sebagai satu budaya akan mudah tercapai dan akhirnya menjadi sebati dengan peribadi serta perilaku semua dalam kehidupan seharian dan di persekitaran seandainya setiap indiividu menyedari dan dapat menghayati kepentingan budi bahasa. Generasi kita semakin hari semakin bijak. Namun kebijaksanaan itu perlu dipelihara berlandaskan kepada budi bahasa yang menjadi budaya kita kerana

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.