Rabu, 25 Januari 2012

mStar Online : Warga Emas Maut Dalam Kejadian Langgar Lari

BAPA SAHABATKU... MUNALIZATUL DAUD. SEMOGA KETABAHAN MENEMANI MEREKA YANG DITINGGALKAN. KEJADIAN MENYAYAT HATI BERLAKU DALAM SEKELIP MATA. SEGALANYA SUDAH TERTULIS. SEMOGA ROH ALLAHYARHAM DITEMPATKAN DALAM KALANGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN. AL-FATIHAH...

Jumaat, 20 Januari 2012

PROGRAM PERJUMPAAN IBU BAPA/PENJAGA TAHUN 6 SKSM 2012

Segalanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua guru yang terlibat dalam membantu menjayakan program ini. Walaupun tidak dibuat lantikan jawatankuasa secara rasmi, namun masing-masing boleh bergerak sendiri. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu/bapa/penjaga murid yang hadir semalam, 19 Januari 2012 dengan kehadiran yang lebih daripada 200 orang. Program sudah disusun dan semuanya akan dilaksanakan sebaik mungkin. Bersama seiring membina minda jauhari, menuju wawasan bestari. 

Jumaat, 13 Januari 2012

SEDAPNYA "KUIH" MASAKAN NINI

Aku terlena... mungkin kerana terlalu penat dalam tempoh seminggu ini dengan kerja yang amat banyak. Tersedar tiba-tiba pabila aku dikejutkan oleh anakku yang bongsu, menyuruh aku bangun kerana katanya dia masak kuih. Aku tidak mengendahkannya dan aku kembali menyambung lena yang sedikit terganggu hampir setengah jam. Setelah bangun dan menuju ke dapur, aku lihat ada sepiring cucur bersama semangkuk sos cili di atas meja makan. Itulah kuih yang dimasaknya tadi. Aku ambil seketul dan aduhai... liatnya macam getah sekerap. Aku jamah juga sedikit supaya dia tidak berkecil hati. Aku memanggilnya untuk memuji betapa sedap "kuih" yang dimasaknya buat pertama kali ini tetapi apabila aku masuk ke biliknya, aku lihat dia sudah terlena. Aku terpaksa membuang kesemuanya supaya anak-anak lain tidak mengejeknya nanti... Hati si kecil itu sebenarnya susah dijaga. Aku mungkin terpaksa mengaku, aku sudah menghabiskannya kerana sedapnya tidak terkata. Maafkan ummi Nini...kerana tidak mempedulikan pelawaan Nini... 

Khamis, 12 Januari 2012

MENGUTIP CEBISAN CERITA DARI LAMAN SOSIAL

Sejak sekolah dibuka pada 3 dan 4 Januari lalu, terdapat pelbagai isu yang hangat diperkatakan tentang kelemahan pengurusan dan kepekaan guru-guru dalam melancarkan proses kemasukan murid-murid ke kelas dan darjah yang baharu. Hal ini kebanyakannya diperkatakan dalam laman facebook dan saya turut membacanya bersama seribu tanda tanya. Pelbagai isu diperkatakan termasuklah kes guru yang tidak tahu siapa nama guru bagi kelas-kelas yang ditanya oleh ibu bapa yang datang memenuhi ruang bilik darjah. Andainya anda baru berpindah rumah, adakah anda tahu nama jiran yang tinggal di blok belakang?  Perkara remeh sebegini pun boleh dijadikan bual bicara di laman sosial yang pastinya kadangkala menyentuh hati banyak pihak. Belum lagi disentuh hal ketidakpuasan hati dalam penempatan anak-anak ke kelas-kelas terpilih. Setiap sekolah mempunyai misi dan visi. Pastinya usaha sentiasa dilakukan dalam pelbagai cara bagi membolehkan seluruh warga mendapat hak dan pendidikan yang sama rata. Guru akan cuba memberi yang terbaik kerana mereka dikurniakan suatu kebolehan untuk mendidik anak bangsa tanpa mengira warna kulit. Semoga usaha murni para guru dipandang dari sudut yang lebih positif. Guru juga manusia biasa. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Jika tidak berpuas hati, hadirlah dengan cara baik, berjumpa dengan pihak pentadbir. Masalah tidak akan selesai jika hanya mencanang cerita di laman sosial. Bukan sengaja mereka cerita...tetapi kasihan pada cikgu yang dikata. Tak kisahlah dari negeri mana. Fikir dahulu sebelum bicara supaya tiada hati yang terluka... 

Khamis, 5 Januari 2012

CUTI AM NEGERI PERAK 2012


CUTI AM NEGERI PERAK 2012


1 Januari (Ahad)  Cuti Tahun Baru

23 & 24 Januari (Isnin & Selasa)  Tahun Baru Cina

5 Februari (Ahad)  Maulidur Rasul

7 Februari (Selasa)  Thaipusam

19 April (Khamis)  Hari Keputeraan Sultan Perak

1 Mei (Selasa)   Hari Pekerja

17 Mei (Khamis)  Hari Wesak

2 Jun (Sabtu)  Hari Keputeraan Yang Dipertuan  Agong

6 Ogos (Isnin)  Nuzul al-Quran

19 & 20 Ogos (Isnin dan Selasa)  Hari Raya Puasa

31 Ogos (Jumaat)  Hari Kebangsaan

16 September (Ahad)  Hari Malaysia

26 Oktober (Jumaat)  Hari Raya Haji/Korban

11 November (Ahad)  Deepavali

15 November (Khamis)  Awal Muharram (Maal Hijrah)

25 Disember (Selasa)  Hari Krismas




Isnin, 2 Januari 2012

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

SETELAH LAMA BERCUTI, KINI MASANYA TIBA KEMBALI... SELAMAT MELANGKAH KE ALAM PERSEKOLAHAN YANG PENUH WARNA WARNI. KINI, MUNGKIN ANDA MASIH  TIDAK TERASA BETAPA INDAHNYA ALAM PERSEKOLAHAN TETAPI SETELAH ANDA MELANGKAH KELUAR, PASTINYA ZAMAN ITU AMAT DIRINDUI. ANDAINYA DAPAT DIPUTARKAN MASA, RASANYA INGIN KEMBALI MENGULANGI DETIK KENANGAN  BERSAMA GURU-GURU DAN TEMAN-TEMAN SEBAYA. OLEH ITU, HARGAILAH SETIAP DETIK DAN KETIKA YANG ADA. BINALAH KEJAYAAN DARIPADA SEGENAP RUANG DAN PELUANG KERANA MASA TIDAK AKAN MENUNGGU KITA. BERTERIMA KASIHLAH KEPADA GURU YANG MEMBERI ILMU DAN HARGAILAH PENGORBANAN IBU BAPA YANG TELAH BERBELANJA BESAR UNTK MELIHAT ANAK-ANAK ANGGUN DAN MEGAH MELANGKAH DENGAN KELENGKAPAN SERBA BAHARU. JANGAN LUPA... KEJAYAAN TIDAK AKAN BERERTI JIKA TIDAK DISULAMI JIWA DAN HATI DENGAN KEPERIBADIAN MURNI. CABARAN DAN PERJUANGAN ADALAH RAKAN PENGALAMAN. INSYAALLAH...  KEJAYAAN MENJADI MILIK ANDA...