Isnin, 31 Ogos 2009

KENANGAN BULAN KEMERDEKAAN

Setiap kali tibanya bulan kemerdekaan..... aku kembali teringat ketika aku mula melibatkan diri dalam Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan pada tahun 1991 Peringkat Negeri Melaka (Percubaan pertama) dan peringkat negeri Perak beberapa tahun selepas itu. Walaupun aku hanya berjaya mendapat tempat ketiga sebanyak 2 kali, aku amat bersyukur kerana bukan mudah untuk aku menewaskan Azmi Ismail dan Suhaimi Haji Zubir. Sempena 31 Ogos ini.... salam kemerdekaan buat teman-teman yang sering kutemui setiap kali sayembara puisi diadakan.... Azmi Ismail, Suhaimi Haji Zubir, J.Jamal, Amirul Fakir..... Rindu rasanya untuk kembali ke pentas itu tetapi masa dan waktu tidak memberi kesempatan kepadaku. Beberapa tahun kebelakangan ini, aku dijemput juga untuk mendeklamasikan puisi dan aku turut jadi pengacara majlis untuk beberapa agenda sempena bulan kemerdekaan di daerah Manjung nan permai ini. Ketika itulah aku mengambil kesempatan...... Semoga berjumpa suatu ketika nanti...

Jumaat, 21 Ogos 2009

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN

Senja ini...
Ada sinar indah di langit
Menyiram wangian kasturi dari titik embun
Membasah wajah umat yang menanti rahmat
Moga kehadiran esok memberi seribu kekuatan dan mengukuhkan keimanan

Rabu, 19 Ogos 2009

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN & PROGRAM RIMUP SK SERI MANJUNG 2009

Isnin, 17 Ogos 2009, SKSM telah mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Perasmian Program RIMUP 2009 yang telah dirasmikan oleh Encik Mohd Sharif bin Mohammad (PPD R). Majlis lebih meriah dengan gimik pelancaran pembebasan beberapa ekor burung dari sangkar sebagai lambang kemerdekaan negara hampir 52 tahun menjelang 31 Ogos 2009 ini. Kami amat berterima kasih kepada Encik Ismail bin Haji Balua, YDP PIBG kerana sudi membantu kami pada hari tersebut kerana Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran SKSM telah menghadiri satu majlis yang berprestij, menobatkan SK Seri Manjung sebagai Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2009. Terima kasih juga kepada para penyumbang hadiah untuk pertandingan basikal berhemah yang menjadikan program ini menjadi satu sejarah bagi SK Seri Manjung.

Selasa, 11 Ogos 2009

BULAN KECERGASAN SK SERI MANJUNG



Majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya pada 22 Julai 2009. Perasmian telah disempurnakan oleh Encik Ismail bin Haji Balua, YDP PIBG SKSM. Senam Tari telah diadakan sejurus selepas majlis pelancaran yang melibatkan semua guru dan murid SKSM. Pada 10 Ogos 2009, murid-murid yang memenangi beberapa acara sempena Bulan Kecergasan menerima hadiah masing-masing. Ternyata aktiviti yang dijalankan berjaya melahirkan murid yang cergas bukan sahaja dari segi fizikal, malah turut cerdas mentalnya untuk melahirkan insan kelas pertama.

Jumaat, 7 Ogos 2009

JEJAK DI PANTAI TIMUR ( 17 JULAI-19 JULAI 2009)




Puan Hajah Normah, Puan Zalina dan aku..... kenangan indah kami bertiga yang memang suka ronda-ronda...