Jumaat, 13 Januari 2012

SEDAPNYA "KUIH" MASAKAN NINI

Aku terlena... mungkin kerana terlalu penat dalam tempoh seminggu ini dengan kerja yang amat banyak. Tersedar tiba-tiba pabila aku dikejutkan oleh anakku yang bongsu, menyuruh aku bangun kerana katanya dia masak kuih. Aku tidak mengendahkannya dan aku kembali menyambung lena yang sedikit terganggu hampir setengah jam. Setelah bangun dan menuju ke dapur, aku lihat ada sepiring cucur bersama semangkuk sos cili di atas meja makan. Itulah kuih yang dimasaknya tadi. Aku ambil seketul dan aduhai... liatnya macam getah sekerap. Aku jamah juga sedikit supaya dia tidak berkecil hati. Aku memanggilnya untuk memuji betapa sedap "kuih" yang dimasaknya buat pertama kali ini tetapi apabila aku masuk ke biliknya, aku lihat dia sudah terlena. Aku terpaksa membuang kesemuanya supaya anak-anak lain tidak mengejeknya nanti... Hati si kecil itu sebenarnya susah dijaga. Aku mungkin terpaksa mengaku, aku sudah menghabiskannya kerana sedapnya tidak terkata. Maafkan ummi Nini...kerana tidak mempedulikan pelawaan Nini...