Rabu, 25 Januari 2012

mStar Online : Warga Emas Maut Dalam Kejadian Langgar Lari

BAPA SAHABATKU... MUNALIZATUL DAUD. SEMOGA KETABAHAN MENEMANI MEREKA YANG DITINGGALKAN. KEJADIAN MENYAYAT HATI BERLAKU DALAM SEKELIP MATA. SEGALANYA SUDAH TERTULIS. SEMOGA ROH ALLAHYARHAM DITEMPATKAN DALAM KALANGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN. AL-FATIHAH...

Jumaat, 20 Januari 2012

PROGRAM PERJUMPAAN IBU BAPA/PENJAGA TAHUN 6 SKSM 2012

Segalanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua guru yang terlibat dalam membantu menjayakan program ini. Walaupun tidak dibuat lantikan jawatankuasa secara rasmi, namun masing-masing boleh bergerak sendiri. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu/bapa/penjaga murid yang hadir semalam, 19 Januari 2012 dengan kehadiran yang lebih daripada 200 orang. Program sudah disusun dan semuanya akan dilaksanakan sebaik mungkin. Bersama seiring membina minda jauhari, menuju wawasan bestari. 

Jumaat, 13 Januari 2012

SEDAPNYA "KUIH" MASAKAN NINI

Aku terlena... mungkin kerana terlalu penat dalam tempoh seminggu ini dengan kerja yang amat banyak. Tersedar tiba-tiba pabila aku dikejutkan oleh anakku yang bongsu, menyuruh aku bangun kerana katanya dia masak kuih. Aku tidak mengendahkannya dan aku kembali menyambung lena yang sedikit terganggu hampir setengah jam. Setelah bangun dan menuju ke dapur, aku lihat ada sepiring cucur bersama semangkuk sos cili di atas meja makan. Itulah kuih yang dimasaknya tadi. Aku ambil seketul dan aduhai... liatnya macam getah sekerap. Aku jamah juga sedikit supaya dia tidak berkecil hati. Aku memanggilnya untuk memuji betapa sedap "kuih" yang dimasaknya buat pertama kali ini tetapi apabila aku masuk ke biliknya, aku lihat dia sudah terlena. Aku terpaksa membuang kesemuanya supaya anak-anak lain tidak mengejeknya nanti... Hati si kecil itu sebenarnya susah dijaga. Aku mungkin terpaksa mengaku, aku sudah menghabiskannya kerana sedapnya tidak terkata. Maafkan ummi Nini...kerana tidak mempedulikan pelawaan Nini... 

Khamis, 12 Januari 2012

MENGUTIP CEBISAN CERITA DARI LAMAN SOSIAL

Sejak sekolah dibuka pada 3 dan 4 Januari lalu, terdapat pelbagai isu yang hangat diperkatakan tentang kelemahan pengurusan dan kepekaan guru-guru dalam melancarkan proses kemasukan murid-murid ke kelas dan darjah yang baharu. Hal ini kebanyakannya diperkatakan dalam laman facebook dan saya turut membacanya bersama seribu tanda tanya. Pelbagai isu diperkatakan termasuklah kes guru yang tidak tahu siapa nama guru bagi kelas-kelas yang ditanya oleh ibu bapa yang datang memenuhi ruang bilik darjah. Andainya anda baru berpindah rumah, adakah anda tahu nama jiran yang tinggal di blok belakang?  Perkara remeh sebegini pun boleh dijadikan bual bicara di laman sosial yang pastinya kadangkala menyentuh hati banyak pihak. Belum lagi disentuh hal ketidakpuasan hati dalam penempatan anak-anak ke kelas-kelas terpilih. Setiap sekolah mempunyai misi dan visi. Pastinya usaha sentiasa dilakukan dalam pelbagai cara bagi membolehkan seluruh warga mendapat hak dan pendidikan yang sama rata. Guru akan cuba memberi yang terbaik kerana mereka dikurniakan suatu kebolehan untuk mendidik anak bangsa tanpa mengira warna kulit. Semoga usaha murni para guru dipandang dari sudut yang lebih positif. Guru juga manusia biasa. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Jika tidak berpuas hati, hadirlah dengan cara baik, berjumpa dengan pihak pentadbir. Masalah tidak akan selesai jika hanya mencanang cerita di laman sosial. Bukan sengaja mereka cerita...tetapi kasihan pada cikgu yang dikata. Tak kisahlah dari negeri mana. Fikir dahulu sebelum bicara supaya tiada hati yang terluka... 

Khamis, 5 Januari 2012

CUTI AM NEGERI PERAK 2012


CUTI AM NEGERI PERAK 2012


1 Januari (Ahad)  Cuti Tahun Baru

23 & 24 Januari (Isnin & Selasa)  Tahun Baru Cina

5 Februari (Ahad)  Maulidur Rasul

7 Februari (Selasa)  Thaipusam

19 April (Khamis)  Hari Keputeraan Sultan Perak

1 Mei (Selasa)   Hari Pekerja

17 Mei (Khamis)  Hari Wesak

2 Jun (Sabtu)  Hari Keputeraan Yang Dipertuan  Agong

6 Ogos (Isnin)  Nuzul al-Quran

19 & 20 Ogos (Isnin dan Selasa)  Hari Raya Puasa

31 Ogos (Jumaat)  Hari Kebangsaan

16 September (Ahad)  Hari Malaysia

26 Oktober (Jumaat)  Hari Raya Haji/Korban

11 November (Ahad)  Deepavali

15 November (Khamis)  Awal Muharram (Maal Hijrah)

25 Disember (Selasa)  Hari Krismas




Isnin, 2 Januari 2012

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

SETELAH LAMA BERCUTI, KINI MASANYA TIBA KEMBALI... SELAMAT MELANGKAH KE ALAM PERSEKOLAHAN YANG PENUH WARNA WARNI. KINI, MUNGKIN ANDA MASIH  TIDAK TERASA BETAPA INDAHNYA ALAM PERSEKOLAHAN TETAPI SETELAH ANDA MELANGKAH KELUAR, PASTINYA ZAMAN ITU AMAT DIRINDUI. ANDAINYA DAPAT DIPUTARKAN MASA, RASANYA INGIN KEMBALI MENGULANGI DETIK KENANGAN  BERSAMA GURU-GURU DAN TEMAN-TEMAN SEBAYA. OLEH ITU, HARGAILAH SETIAP DETIK DAN KETIKA YANG ADA. BINALAH KEJAYAAN DARIPADA SEGENAP RUANG DAN PELUANG KERANA MASA TIDAK AKAN MENUNGGU KITA. BERTERIMA KASIHLAH KEPADA GURU YANG MEMBERI ILMU DAN HARGAILAH PENGORBANAN IBU BAPA YANG TELAH BERBELANJA BESAR UNTK MELIHAT ANAK-ANAK ANGGUN DAN MEGAH MELANGKAH DENGAN KELENGKAPAN SERBA BAHARU. JANGAN LUPA... KEJAYAAN TIDAK AKAN BERERTI JIKA TIDAK DISULAMI JIWA DAN HATI DENGAN KEPERIBADIAN MURNI. CABARAN DAN PERJUANGAN ADALAH RAKAN PENGALAMAN. INSYAALLAH...  KEJAYAAN MENJADI MILIK ANDA...

Rabu, 7 Disember 2011

BELAJAR LAGI...

Hari peperiksaan untuk pelajar OUM bakal kembali lagi bermula 14 Disember 2011. Begitu jugalah dengan rakan-rakan seangkatan yang menyambung pembelajaran di institusi pengajian yang lain. Ketika inilah kami mula mentelaah dan menyemak apa yang ada dalam modul yang selama ini tersimpan rapi dan hanya dibuka ketika kelas bermula sebanyak 5 kali untuk 1 semester. Sasaat pun begitu berharga sehingga masih lagi membuka modul dan nota sementara menunggu waktu solat di surau. Buku yang masih rapi ini menjadi saksi dan bukti betapa rajinnya rakan-rakanku...Membaca dan terus membaca tetapi hanya sedikit sahaja yang tersangkut dalam kepala. Aduhai...beginilah rupanya kalau belajar dalam usia yang hampir senja. Benarlah kata orang... ubat tidur yang paling mujarab ialah membaca buku-buku ilmiah. Emm... Walau bagaimanapun, tahniah untuk rakan-rakanku yang seringkali skor A dan pastinya akan melompat kegembiraan sehingga lupa tentang sendi lutut yang sudah ketat dan tulang belakang yang sudah bengkok. Tahniah juga kerana kita masih bersemangat untuk belajar walaupun pelbagai kekangan terpaksa dihadapi memandangkan tugas dan tanggungjawab yang sedia ada menanti di rumah dan di sekolah kerana kita adalah warga pendidik yang sentiasa mencari ilmu untuk membuktikan bahawa kita adalah bangsa Malaysia, mendidik tanpa rasa jemu, terus mengangkat harjat dan martabat, gagah perkasa dan terhebat....

Isnin, 28 November 2011

OPAH DALAM KENANGAN...JUMAAT, 25 NOVEMBER 2011

Ya Allah
Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah
Lindunglah nenda dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.

Ya Allah
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sabaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, berkatkanlah timbangan kebaikannya, tingkatkanlah darjatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah perkenankanlah permohonanku.

Sabtu, 10 September 2011

BERUSAHA DAN BERDOA... SELAMAT BERJAYA

Doa Menghadapi Peperiksaan Buat Anak-anak Tersayang
(UPSR 2011 pada 13-15 September)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ, وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,
Terangilah hati kami dengan cahaya petunjuk-Mu sebagaimana Engkau menerangi bumi dengan matahari-Mu selama-lamanya

Ya Allah , Ya Hakim Ya Halim,
Kami pertaruhkan kepada-Mu apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, maka kembalikanlah semula kepada kami jika kami memerlukannya dan janganlah Engkau buat kami melupainya

Ya Allah Ya Ghaffar ,
Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa guru-guru kami dan seluruh umat Islam, lengkapkanlah budi pekerti kami, sempurnakanlah usaha kami, puaskanlah hati kami terhadap rezeki pemberian-Mu dan jangan biarkan hati kami terpedaya oleh apa yang Engkau hindarkan daripada kami.

Ya Allah ,
Sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami rahsiakan dan yang kami nyatakan,
Semoga Engkau terima keuzuran kami,
Engkau mengetahui hajat kami,
Semoga Engkau kabulkan permohonan kami,
Engkau mengetahui dosa yang ada dalam diri kami,justeru itu kami mohon keampunan-Mu Ya Ghaffar,

اللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحُزْنَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ

رَبَّنَا آتِنَا ِفي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَِفي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَـمِيْنَ

Isnin, 29 Ogos 2011

PENGHUJUNG RAMADHAN... PERMULAAN SYAWAL.

SEMOGA MASIH BERKESEMPATAN UNTUK KITA KEMBALI BERTEMU DENGAN RAMADHAN YANG AKAN DATANG... MOHON MAAF ANDAINYA ADA KATA YANG MENGGURIS HATI, ADA BICARA YANG MENYENTUH  NALURI. SALAM AIDILFITRI... UCAPAN IKHLAS NAN TULUS DARI SANUBARI...

Khamis, 14 Julai 2011

SETELAH 21 TAHUN...

HARI INI 14 JULAI... GENAP 21 TAHUN AYAH KEMBALI KE RAHMATULLAH. TERLALU JAUH WAKTU ITU TELAH AKU TINGGALKAN NAMUN INGATANKU KEPADANYA TAK PERNAH PADAM. SEMOGA DIA TERUS AMAN DI SANA... BERSAMA SEJUTA RINDU DAN IRINGAN DOA SABAN WAKTU.

Ahad, 19 Jun 2011

BELASUNGKAWA AMIRUL FAKIR- MINGGUAN MALAYSIA 19 JUN 2011

Utusan Malaysia Online - Sastera

Belasungkawa Amirul Fakir

Sejadah yang berdarah.
Aku sering mendengar deru
sesekali kuhirup nyamannya
sesekali terkesiap oleh lecutan
yang melukakan.
Aku juga terpesona pada serumu:
“kenderailah ia sebelum terlewat
kerna di pulau itulah destinasi kita”,
laungmu berulang kali.
Aku melihat kau
alon-alon mengenderainya
di hujung sana pulau impian itu
berbalam-balam
suaramu semakin bergetar
berbaur dalam siutan terakhir.
*(Daripada kumpulan sajak Fosil,
Rumah Penebitan Suara Suara 2006)
Barangkali antara kesan hasil daripada dunia perbukuan dan penulisan adalah, sepertimana yang dikatakan oleh seorang ahli falsafah Jepun, untuk merakam ‘traces of dreams’.
Dan kalaulah itu benar, maka Amirul Fakir melalui kumpulan sajaknya Fosil dan kemudian antologi cerpennya Mea Culpa, telahpun berupaya meninggalkan legasi atau warisannya itu.
Ibnu Khaldun ahli falsafah, sosiologi dan sejarawan telah banyak mengingatkan masyarakat sezamannya mengenai perkara ini. Pengarang Muqadimah itu berulangkali menyebut peri pentingnya dunia penulisan dan penghasilan buku dalam upaya untuk membangun sesebuah tamadun. Pada tahun 1375, Ibnu Khaldun pernah mengkritik tindakan penguasa atau elit masyarakat pada zaman sebelumnya sering membakar buku dalam usaha untuk mengabsahkan pemerintahan yang baru.
Amirul Fakir atau nama sebenarnya Amiruddin bin Hussin dilahirkan pada 8 April 1967 di Ipoh , Perak telah kembali ke rahmatullah pada 10 Jun lalu. Amirul adalah seorang penyair , penulis, penterjemah dan editor bebas. Beliau pernah bekerja dengan Penerbangan Malaysia di Lapangan Terbang Kuantan pada tahun 1980-an. Dia terlibat dengan penubuhan kelompok Angkatan 21. Antara kawan-kawan rapatnya yang juga menjadi inspirasinya adalah Marsli N.O.
Di sebalik senyumnya yang hampir tak pernah kering sewaktu bersama dengan kawan-kawan, dia juga merupakan seorang yang intens dan serius apabila bersama sembang-sembang ataupun wacana informal mengenai dunia seni, budaya dan peranannya dalam pembinaan minda bangsa dan tamadun manusia.
Dalam hal ini dia amat percaya pada pentingnya peranan seniman, penulis, penyair dan aktivis budaya dalam mengerakkan hasrat ini. Dalam catatan ringkasnya bertajuk Memalsukan Kesenimanan yang tersiar dalam majalah Suara Seni Mei 2003, Amirul menulis:
"(Kerana seniman) telah memilih landas ini sebagai suatu cara untuk memperjuangkan kebenaran dan bersiaga memancung setiap yang bernama kebatilan, segala musibah yang menabrak pasti menjadikan ia bertambah sigap dan tidak mudah pula dihinabobokkan.
“Hasrat mulus untuk membebat segala yang bernama kebejatan, menyeret seorang seniman atau sasterawan mengharungi segala kejerihan dalam kehidupan realitinya dengan penuh rasa pasrah tanpa sama sekali menuding ke arah massa dengan maksud menyalahkan. Malahan ia tetap tegar bersama harapan bahawa akan muncul juga segala yang menjadi idamannya.”
“Tetapi apakah penyataan itu sesuatu yang telah dimeterai oleh para seniman atau sasterawan secara alami atau ia sekadar retorik sang seniman untuk menyembunyikan kaduk-kaduk yang akan tampil pada situasi tertentu. Sembari sebelah lengan diacungkan, menuntut kebenaran manakala sebelah pula menggapai mahu memiliki material yang disodorkan dan tentunya dengan sederetan syarat yang memualkan.
Apakah sudah ada senyuman yang merelakan dirinya didandan dengan kostum si badut dan bersedia pula untuk membeber wejangan para oportunis hanya kerana tergiur oleh bayangan material atau nama yang bakal dinobatkan di persada seni”.
Saya teringat kepada apa yang ditulis oleh Amirul dalam eseinya Biar Berjuang Untuk Kebenaran mengenai pelancaran kumpulan sajak pertama saya, Menyarung Jiwa oleh Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh. Amirul telah menulis seperti berikut. “Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah memulakan bicara seni dengan melontarkan ungkapan sinis, antaranya, “ini bukan zaman seni, ini zaman menyingkirkan seni!”, “ini zaman mendapatkan MBA!” dan “ini adalah suatu zaman yang tidak mencari puncak falsafah, tetapi suatu zaman mencari puncak material dan keuntungan"
Kini Amirul telah pergi, pulang kepada rahmat al-Khaliq. Bagi kita yang telah mengenal dan bertuah bersama-sama dengannya, marilah kita kenang keberadaanya di dunia ini dengan memanfaatkan warisannya. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan semua sudut pandangnya, itu merupakan perkara kedua. Yang penting dia seorang yang meraikan ide dan wacana, meskipun gerak gerinya terbatas berbanding dengan seniman-seniman dan penulis tersohor yang lebih mudah untuk bergerak ke sana sini.
Si Burung Hijau
Tidak ada gigil bergayut di dada
saat algojo menajamkan gelap di mata
yang bergeming, hanya alon-alon
berbenturan disela-sela serakan awan
kepak mulusmu kedengaran di kuping
menandai doa yang di titik di pada nyala
berani telah dimakbulkanNya
dan para malaikat dalam arakan cahaya
menguliti tembang kudus tatkala dempangan
kepak merafak ; semakin panar dari
aroma mersiu menerombosi cakerawala mimpi
mengitari petala demi petala surgawi
menyeru tentang bersemayamnya para
syuhada terpilih ini.
* (Puisi Si Burung Hijau karya Amirul Fakir dari antologi Anti Perang: YKP, 2003)

Ahad, 12 Jun 2011

PERGINYA SEORANG SAHABAT... 10 JUN 2011

Sudah lama aku mengenalinya. Sudah lama juga aku turut merasa keperitan yang ditanggungnya dan sudah lama juga aku tidak menemuinya lantaran kesihatannya yang tidak seperti dulu...ketika aku terpesona mendengar lontaran tenaga dalam puisi-puisi yang dideklamasikannya. Dia pernah membawaku ke gerbang puisi dan dia pernah bersamaku minum secawan kopi dan bicara soal seni... Dia pernah memberiku semangat ketika aku tewas dalam sayembara... dan aku pernah memberinya semangat untuk meneruskan kehidupannya yang tidak lagi seperti dulu. Dia pernah mengucapkan terima kasih kerna aku sentiasa mengerti arti puisi dan seni tetapi aku tidak sempat untuk mengucapkan terima kasih kepadamu... Allahyarham Amiruddin Hussin @ Amirul Fakir kerana menjadi sahabatku...dan terima kasih kerana sebuah puisi yang pernah kau ciptakan untukku... Ya Allah...ampunkan segala dosa-doasanya... dan tempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman...