Khamis, 12 Januari 2012

MENGUTIP CEBISAN CERITA DARI LAMAN SOSIAL

Sejak sekolah dibuka pada 3 dan 4 Januari lalu, terdapat pelbagai isu yang hangat diperkatakan tentang kelemahan pengurusan dan kepekaan guru-guru dalam melancarkan proses kemasukan murid-murid ke kelas dan darjah yang baharu. Hal ini kebanyakannya diperkatakan dalam laman facebook dan saya turut membacanya bersama seribu tanda tanya. Pelbagai isu diperkatakan termasuklah kes guru yang tidak tahu siapa nama guru bagi kelas-kelas yang ditanya oleh ibu bapa yang datang memenuhi ruang bilik darjah. Andainya anda baru berpindah rumah, adakah anda tahu nama jiran yang tinggal di blok belakang?  Perkara remeh sebegini pun boleh dijadikan bual bicara di laman sosial yang pastinya kadangkala menyentuh hati banyak pihak. Belum lagi disentuh hal ketidakpuasan hati dalam penempatan anak-anak ke kelas-kelas terpilih. Setiap sekolah mempunyai misi dan visi. Pastinya usaha sentiasa dilakukan dalam pelbagai cara bagi membolehkan seluruh warga mendapat hak dan pendidikan yang sama rata. Guru akan cuba memberi yang terbaik kerana mereka dikurniakan suatu kebolehan untuk mendidik anak bangsa tanpa mengira warna kulit. Semoga usaha murni para guru dipandang dari sudut yang lebih positif. Guru juga manusia biasa. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Jika tidak berpuas hati, hadirlah dengan cara baik, berjumpa dengan pihak pentadbir. Masalah tidak akan selesai jika hanya mencanang cerita di laman sosial. Bukan sengaja mereka cerita...tetapi kasihan pada cikgu yang dikata. Tak kisahlah dari negeri mana. Fikir dahulu sebelum bicara supaya tiada hati yang terluka... 

Tiada ulasan: