MENINGKATKAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN HURUF BESAR BAGI
MURID TAHUN 2 PANDAI MENGGUNAKAN TEKNIK WARNA
Oleh
Zaridah binti Zuber,
SK
Perak Darul Ridzuan.
1. LATAR BELAKANG KAJIAN
Setiap kali latihan di dalam kelas, ujian atau peperiksaan, murid yang bijak pun kadangkala cuai dengan penggunaan huruf besar. Soalan kegemaran para guru setiap kali ujian bulanan adalah ‘Salin semula ayat-ayat di bawah menggunakan tanda baca di tempat yang sesuai’. Kesalahan murid dalam penggunaan huruf besar secara tidak langsung akan mengurangkan markah kerana markah akan dipotong untuk setiap kesalahan tersebut. Walaupun setiap kali sebelum mula menulis saya mengulangi ungkapan yang sama iaitu permulaan ayat dan kata nama khas mesti ditulis dengan huruf besar tetapi kadangkala murid leka dan menganggapnya tidak penting. Oleh itu, saya menjalankan kajian ini untuk mengatasi masalah tersebut.
2. OBJEKTIF KAJIAN
Objektif Umum
i) Meningkatkan penguasaan kemahiran penggunaan huruf besar.
Objektif Khusus
i) Meningkatkan penguasaan murid untuk menggunakan huruf besar pada
permulaan ayat.
ii) Meningkatkan daya ingatan murid terhadap penggunaan huruf besar.
3. METHODOLOGI KAJIAN
Methodologi yang digunakan ialah :
a) Pemerhatian
Sikap murid dilihat secara tidak langsung sewaktu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
b) Soal selidik .
Borang soal selidik diberi kepada murid dan guru membacakannya untuk mendapatkan jawapan yang tepat secara jujur.
c) Ujian Pengesanan
Diberi kepada murid untuk mengukur sejauhmana pencapaian dan pemahaman mereka untuk menggunakan huruf besar dalam ayat.
d) Tindakbalas di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
Tindakbalas murid dinilai semasa mereka menjawab soalan yang dikemukakan.
g) Semakan buku latihan
Semakan buku latihan secara tidak langsung dapat menilai tahap perkembangan murid dalam menguasai kamahiran berkenaan.
4. PELAKSANAAN KAJIAN
4.1 Tinjauan masalah
Sebelum langkah-langkah yang seterusnya diambil, saya telah meninjau masalah-masalah yang menyebabkan kegagalan murid dalam menguasai kemahiran penggunaan huruf besar menggunakan methodologi yang dinyatakan.
4.2 Analisis Tinjauan Masalah
Saya membuat analisis berdasarkan instrument yang dijalankan untuk meninjau masalah yang menyebabkan murid gagal menguasai kemahiran penggunaan huruf besar.
4.3 Tindakan yang dijalankan
Tindakan dijalankan berdasarkan analisis yang dibuat. Oleh itu, langkah pertama yang saya jalankan ialah memberi motivasi kepada murid terbabit. Tindakan seterusnya ialah:
i) Memulakan setiap tulisan dengan warna.
ii) Pemeringkatan secara bergred.
ii) Latih tubi.
4.4 Pelaksanaan Tindakan dan Pemerhatian/Penilaian
4.4.1 Pelaksanaan Aktiviti:
Aktiviti dijalankan setiap kali mata pelajaran Bahasa Melayu. Setiap aktiviti atau latihan yang memerlukan murid menulis, murid perlu memulakan dengan warna kerana warna dapat meningkatkan daya ingatan.
4.4.2 Aktiviti dijalankan seperti berikut:
Item 1
1. Membaca ayat mudah yang lengkap dengan penggunaan huruf besar.
2. Mengecam penggunaan huruf besar pada ayat tersebut.
3. Menyalin semula ayat tersebut dengan menggunakan huruf besar di
tempat yang sesuai menggunakan warna.
Item 2
1. Membaca ayat yang diberi tanpa huruf besar di permulaan ayat.
2. Menyalin semula ayat tersebut dengan menggunakan huruf besar di
tempat yang sesuai. (Huruf besar pada permulaan ayat sahaja
menggunakan warna)
Item 3
1. Membaca ayat-ayat yang diberi tanpa huruf besar.
2. Menyalin semula ayat tersebut dengan menggunakan huruf besar di
tempat yang sesuai. (Huruf besar pada permulaan ayat dan selepas
noktah menggunakan warna)
5. DAPATAN KAJIAN
Setelah semua aktiviti mengikut item yang ditetapkan dijalankan, saya dapati peningkatan dalam menguasai kemahiran penggunaan huruf besar amat memuaskan terutamanya untuk item 1 dan 2. Murid mengambil berat penggunaan huruf besar. Kesilapan akibat kecuaian, sifar bagi murid cemerlang dan berpotensi cemerlang. Di samping itu, saya telah menjalankan satu ujian pencapaian yang lain untuk mengesan keberkesanan aktiviti yang dijalankan.
MARKAH | PENCAPAIAN |
| UJIAN PENGESANAN | *ITEM 1 | *ITEM 2 | *ITEM 3 | UJIAN PENCAPAIAN |
20 – 16 | 22% | 100% | 100% | 96% | 95% |
15 – 10 | 22% | 0% | 0% | 4% | 2.5% |
9 – 6 | 26% | 0% | 0% | 0% | 2.5% |
5-0 | 30% | 0% | 0% | 0% | 0% |
*Pencapaian item dinilai melalui latihan terakhir.
8. REFLEKSI KAJIAN
8.1 Penilaian Pencapaian Pelajar
Kesemua aktiviti yang dirancang telah berjalan dengan lancar. Keyakinan diri murid juga menunjukkan peningkatan yang positif. Latihan harian masih menggunakan warna biru untuk huruf besar tanpa arahan daripada guru. Di dalam Ujian Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR 1 – 2006) yang lalu, hanya 3 orang murid sahaja yang tidak menggunakan huruf besar pada permulaan ayat untuk soalan Bahagian C iaitu Salin semula ayat di bawah dengan menggunakan tanda baca yang betul. Dua orang daripada murid tersebut adalah murid kelas pemulihan. Soalan PKSR – 1 2006 bagi daerah Manjung telah disediakan oleh Majlis Guru Besar. Meskipun dalam setiap ujian bulanan, markah yang diperolehi tidak cemerlang tetapi sekurang-kurangnya membantu murid lemah untuk mendapat B atau C.
8.2 Rumusan Pemerhatian
Sikap kurang berminat, malas, kurang tumpuan dan tidak menggunakan huruf besar di tempat yang sepatutnya ketara berkurangan. Secara tidak langsung penggunaan tanda noktah juga menunjukkan peningkatan di luar jangkaan saya. Ini telah melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran serta memudahkan guru untuk menyemak hasil kerja murid. Penggunaan huruf besar banyak membantu meningkatkan peratus keseluruhan ujian di samping membantu meningkatkan prestasi mata pelajaran lain.
9. CADANGAN UNTUK MENERUSKAN KAJIAN TINDAKAN
Kesemua aktiviti yang dijalankan banyak membantu menjayakan kajian tindakan yang saya jalankan ke atas murid-murid berkenaan. Saya bercadang untuk meneruskan program ini di samping berkongsi idea bersama guru pemulihan khas. Seterusnya saya ingin meningkatkan penguasaan murid berkenaan dalam penggunaan tanda baca (koma dan noktah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan