Khamis, 11 November 2010

UPSR 2010 SK SERI MANJUNG

Hari ini telah diumumkan keputusan UPSR 2010. Tahniah diucapkan kepada semua murid yang berjaya memperoleh 5A termasuklah murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Manjung. Seramai 61 orang telah berjaya membuatkan guru-guru berasa bangga dan ibu bapa tersenyum gembira. Pelbagai gelagat dapat disaksikan...tidak kurang juga yang berduka kerana kurang bernasib baik. Walau bagaimanapun, jika tidak memperoleh 5A, bukanlah bermakna langkah anda berhenti di sini. UPSR adalah isyarat pertama untuk anda terus meneroka perjalanan hidup yang masih jauh. Masih banyak waktu, ruang dan peluang untuk anda terus membentuk kecemerlangan diri...

Selasa, 19 Oktober 2010

BERKONGSI UNGKAPAN DALAM PERIBAHASA MELAYU

ADA PADI, SEMUA KERJA JADI;
ADA BERAS, SEMUA KERJA DERAS.
Maksudnya: Apabila seseorang itu mempunyai wang, semua kehendaknya dapat dibuat.

AKAL TAK SEKALI DATANG;
RUNDING TAK SEKALI TIBA.
Maksudnya: Mesti tekun dan sabar kerana tidak ada kerja yanng serta merta boleh mendatangkan hasil ataupun menjadi sempurna

TIDAK MUSTAHIL UNTUK IMPIAN BERUBAH MENJADI MIMPI, MIMPI BERUBAH MENJADI REALITI...

myspace backgrounds images

myspace backgrounds

Isnin, 18 Oktober 2010

Gembira rasanya kerana dapat berkongsi ilmu... Kepada anda yang ingin menggunakan laporan Kajian Tindakan saya sebagai panduan atau apa sahaja bidang ilmiah, dipersilakan. Semoga ilmu setitik akan jadi selaut...

Ahad, 29 November 2009

TAKDIRNYA BEGITU...

Hampir 3 bulan rupa-rupanya aku tidak menjenguk laman ini..... Kesibukan membataskan aku untuk mengemaskannya. Kini, aku kembali membawa cerita baru. Sarah Adilla kembali normal walaupun sebelah kakinya telah "hilang". Semangat kental gadis kecil itu membuatkannya tabah menghadapi dugaan hidup walaupun rawatannya masih belum selesai. 13 Oktober 2009, anak muridku Quratu'Alia kembali ke rahmatullah dalam usia 10 tahun. Sukar untuk aku hadapi kenyataan ini tetapi itulah hakikatnya. Yang pasti, kita juga akan kembali... Sahabat baikku... Amirul Fakir kini masih bergelut dengan kesakitan yang tidak diketahui puncanya. Entahlah... Aku semakin keliru dan tidak mengerti...

Selasa, 1 September 2009

SARAH ADILLA YANG KEHILANGAN......

Jumaat, 21 Ogos 2009, aku dimaklumkan oleh rakanku, Puan Siti Sapiah bahawa anaknya, Sarah Adilla akan dirujuk semula ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah beberapa tahun kesakitan dikakinya tidak sembuh-sembuh. Sudah puas berikhtiar namun segalanya tidak mendatangkan kesan yang diharapkan. Gadis kecil itu sepatutnya kini dalam Tingkatan 5, namun dia tidak dapat meneruskan persekolahan sejak Tingkatan 3 kerana kesakitan yang ditanggung.

Hari ini, 1 September 2009, aku dimaklumkan bahawa kaki yang sakit itu telah dipotong pada hari Ahad, 23 Ogos 2009. Kebetulan adikku bekerja di PPUM telah menziarahinya petang tadi. Menurutnya, keadaan Sarah Adilla semakin baik. Kajian masih dibuat untuk mengesan penyakitnya dan "kaki" itu masih belum "dikembalikan". Syukur alhamdulillah. Semoga kehilangan sebelah kaki yang selama ini menanggung kesakitan yang teramat akan menutup diari hitam dalam hidup Sarah Adilla. Semoga dia kembali ceria seperti suatu ketika dulu....

Isnin, 31 Ogos 2009

KENANGAN BULAN KEMERDEKAAN

Setiap kali tibanya bulan kemerdekaan..... aku kembali teringat ketika aku mula melibatkan diri dalam Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan pada tahun 1991 Peringkat Negeri Melaka (Percubaan pertama) dan peringkat negeri Perak beberapa tahun selepas itu. Walaupun aku hanya berjaya mendapat tempat ketiga sebanyak 2 kali, aku amat bersyukur kerana bukan mudah untuk aku menewaskan Azmi Ismail dan Suhaimi Haji Zubir. Sempena 31 Ogos ini.... salam kemerdekaan buat teman-teman yang sering kutemui setiap kali sayembara puisi diadakan.... Azmi Ismail, Suhaimi Haji Zubir, J.Jamal, Amirul Fakir..... Rindu rasanya untuk kembali ke pentas itu tetapi masa dan waktu tidak memberi kesempatan kepadaku. Beberapa tahun kebelakangan ini, aku dijemput juga untuk mendeklamasikan puisi dan aku turut jadi pengacara majlis untuk beberapa agenda sempena bulan kemerdekaan di daerah Manjung nan permai ini. Ketika itulah aku mengambil kesempatan...... Semoga berjumpa suatu ketika nanti...

Jumaat, 21 Ogos 2009

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN

Senja ini...
Ada sinar indah di langit
Menyiram wangian kasturi dari titik embun
Membasah wajah umat yang menanti rahmat
Moga kehadiran esok memberi seribu kekuatan dan mengukuhkan keimanan

Rabu, 19 Ogos 2009

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN & PROGRAM RIMUP SK SERI MANJUNG 2009

Isnin, 17 Ogos 2009, SKSM telah mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Perasmian Program RIMUP 2009 yang telah dirasmikan oleh Encik Mohd Sharif bin Mohammad (PPD R). Majlis lebih meriah dengan gimik pelancaran pembebasan beberapa ekor burung dari sangkar sebagai lambang kemerdekaan negara hampir 52 tahun menjelang 31 Ogos 2009 ini. Kami amat berterima kasih kepada Encik Ismail bin Haji Balua, YDP PIBG kerana sudi membantu kami pada hari tersebut kerana Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran SKSM telah menghadiri satu majlis yang berprestij, menobatkan SK Seri Manjung sebagai Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2009. Terima kasih juga kepada para penyumbang hadiah untuk pertandingan basikal berhemah yang menjadikan program ini menjadi satu sejarah bagi SK Seri Manjung.

Selasa, 11 Ogos 2009

BULAN KECERGASAN SK SERI MANJUNG



Majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya pada 22 Julai 2009. Perasmian telah disempurnakan oleh Encik Ismail bin Haji Balua, YDP PIBG SKSM. Senam Tari telah diadakan sejurus selepas majlis pelancaran yang melibatkan semua guru dan murid SKSM. Pada 10 Ogos 2009, murid-murid yang memenangi beberapa acara sempena Bulan Kecergasan menerima hadiah masing-masing. Ternyata aktiviti yang dijalankan berjaya melahirkan murid yang cergas bukan sahaja dari segi fizikal, malah turut cerdas mentalnya untuk melahirkan insan kelas pertama.

Jumaat, 7 Ogos 2009

JEJAK DI PANTAI TIMUR ( 17 JULAI-19 JULAI 2009)




Puan Hajah Normah, Puan Zalina dan aku..... kenangan indah kami bertiga yang memang suka ronda-ronda...